Pages

Tuesday, May 1, 2012

SEGERA BERKAS DAN DAKWA PERUSUH “KOTOR” 3.0

Umum mengetahui perhimpunan bersih 3.0 adalah yang paling kotor, ganas dan boleh menghuru-harakan negara. Jadi saya mencadangkan semua pihak supaya tidak lagi menggunakan istilah bersih tetapi menukarnya dengan istilah kotor. Ini secara sikologi boleh membuatkan pemimpin, pendukung, peserta dan perusuh kotor 3.0 berada dalam tekanan kerana rakyat mulai bangkit menentang apa yang telah mereka jahanamkan pada negara ini. Saya percaya jika mana-mana demonstrasi berjalan secara aman, sebenarnya tiada masalah buat kerajaan dan polis membenarkannya, tetapi sejarah kotor 1.0 dan kotor 2.0 telah membuktikan negara mengalami huru-hara. Tetapi kotor 3.0 benar-benar telah mengejutkan negara dengan tindakan yang cukup agresif seperti rusuhan di London baru-baru ini. Dalam laporan dianggarkan hampir 50% penglibatan kotor 3.0 adalah daripada kaum Cina. Kerajaan dan polis khusunya perlu melihat dan mengkaji secara serius apakah langkah-langkah yang lebih tegas patut dilakukan kerana perusuh kotor 3.0 amat berbeza dengan kotor 1.0 dan 2.0 sebelum ini. Parti pembangkang telah mula mengugut kerajaan untuk melancarkan kotor 4.0, dimana mereka telah melihat kerajaan dan polis mula berada dibawah tekanan mereka. Sebenarnya selepas kotor 2.0, kerajaan melalui pengumuman YAB Perdana Menteri telah menubuhkan jawatankuasa terpilih di peringkat parlimen bagi mengkaji kaedah terbaik pilihanraya atau dengan kata lain mahu pilihanraya negara betul-betul dilihat adil dan bersih. Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli parlimen pembangkang. Jadi mereka ini boleh memberi apa-apa input atau bantahan secara terus. Ada beberapa syor akan dilaksanakan oleh SPR dalam PRU-13 nanti. Malangnya tuduhan kepada SPR terus menerus seperti yang popular ialah “ pengundi hantu “. Ada pemimpin pembangkang dengan angkuh mengatakan mereka mempunyai bukti. Kenapa sampai sekarang mereka tidak bawa kes ini ke mahkamah dan kenapa sampai hari ini tiada penghakiman terbukti SPR “menyimpan” pengundi hantu. Ramai pemimpin pembangkang berpegang kepada prinsip seseorang tidak dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Mereka dengan 100% berpegang dengan prinsip ini dalam kes Anwar Ibrahim walaupun beberapa bukti dikemukan termasuk oleh pengesahan oleh pakar luar. Saya pun bersetuju dengan prinsip ini supaya tiada penganiyaan kepada seseorang. Jadi dalam kes SPR mereka juga wajar berpegang dengan prinsip ini. Terbaru tuduhan mengatakan beribu-ribu SPR mendaftar orang asing sebagai pengundi setelah diberi kad pengenalan oleh JPN. Mereka menuduh SPR dan JPN berpakat dalam kes ini. Bagi saya tuduhan ini amat berat kerana melibatkan soal ketulusan dan keselamatan negara. Maka wajar mereka ini mengemukakan bukti dan membawa kes ini ke mahkamah. Jadi jika hanya cakap-cakap kedai kopi maka ini boleh ditarifkan sebagai fitnah. Saya juga minta SPR dan JPN menjawab tuduhan ini kerana ia telah menjadi isu untuk kempen pilihanraya akan datang. Sebelum perhimpunan kotor 3.0, Ambiga telah meminta kerajaan menangguhkan pilihanraya selagi kesemua tuntutan kotor tidak dipenuhi oleh kerajaan. Sebenarnya yang tersirat ialah parti pembangkang tidak yakin akan mencapai kemenangan untuk menawan Putrajaya jika PRU-13 diadakan dalam waktu terdekat. Jadi meraka mahu mencipta isu pilihanraya melalui insiden kotor 3.0, sebab itu mereka mahu membuat demonstrasi ini ditempat terbuka bukan ditempat tertutup seperti stadium, supaya pihak polis gagal mengawal keadaan atau dengan kata lain supaya pihak polis akan melakukan keganasan selepas diprovokasi dengan menggila oleh persusuh kotor 3.0. Jadi video dan gambar keganasan polis akan disebar dan menjadi kempen pembangkang PRU-13. Mereka mahu meraih undi simpati rakyat kepada mereka. Perkara ini jelas dapat dilihat apabila ibu-bapa membawa anak-anak kecil dan kanak-kanak. Apakah satu bentuk pendidikan yang berguna untuk kanak-kanak melihat mereka merusuh, melawan pihak polis. Tidak mustahil kanak-kanak ini akan belajar dan merusuh di rumah. Tetapi usaha pembangkang ini gagal kerana rakyat mulai buka mata mulai celik mulai memahami perkara yang sebenar. Kerajaan dan polis juga jangan hanya asyik menumpukan kepada penayangan video yang sebenar semata-mata sebagai menangkis dakyah pembangkang, tetapi apa yang lebih penting yang dimahukan oleh majoriti rakyat ialah menyiasat dengan segera dan mengheret mereka ini ke muka keadilan. Jika kita lihat negara England yang dipuja oleh pembangkang sebagai negara lebih demokratik daripada Malaysia, apakah yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa mereka apabila berlaku rusuhan, termasuk seorang pelajar negara kita dibelasah oleh perusuh. Polis mereka telah menyiasat, menahan dan pihak mahkamah telah pun menjatuhkan hukuman. Jadi saya mencadangkan kepada PDRM supaya menubuhkan pasukan khas daripada Bukit Aman dan IPK Kuala Lumpur. Siasat dengan segera dengan membuat tangkapan mereka yang merusuh membelasah anggota polis sehingga cedera dan pengsan, merosakkan kereta peronda polis, menendang anggota polis trafik sehingga terjatuh, merosakkan harta awam dan kerajaan. Siasat juga siapakah yang telah merampas pistol anggota polis trafik yang telah terjatuh walaupun pistol ini dijumpai semula tetapi perkara ini cukup serius. Jika terjadi apa-apa, pihak polis yang akan dipertanggungjawab kerana polis sahaja yang mempunyai pistol. Jadi rakyat sedang menunggu tindakan tegas dan adil daripada pihak berkuasa. Saya percaya pihak polis mempunyai penunjuk dan boleh menjejaki kesemua perusuh terbabit. Selain itu, punca provokasi sehingga tercetus tindakan ganas perusuh juga hendaklah disiasat dengan rapi dan mendakwa pemimpin pembangkang yang hadir yang terbukti telah menghasut. Jika video yang dipaparkan arahan Anwar Ibrahim kepada Azmin Ali untuk peserta merempuh dan memasuki Dataran Merdeka dengan laungan peserta masuk!masuk! hendaklah segera disiasat pihak polis. Jika pemimpin ini melakukan kesalahan menghasut dan boleh menimbulkan kekecohan pada kotor 3.0, hendaklah mereka ini juga didakwa di mahkamah. Sebab kita tidak mahu pengulangan yang lebih dahsyat dan ganas jika berlaku lagi kotor 4.0. Kerajaan dan pihak polis janganlah gentar, rakyat akan berada di belakang pihak berkuasa jika kes ini dibawa ke mahkamah kerana keutamaan orang ramai lebih penting daripada kepentingan individu. Saya percaya kerajaan dan pihak polis tidak boleh dituduh mereka-reka kes dan bukti kerana jelas apa yang dilakukan oleh pemimpin ini telah menyebabkan peserta kotor 3.0 seperti hilang akal. Adakah mereka mahu menjadikan Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir di Mesir. Ada laporan yang mendakwa, mereka mahu berkampung di Dataran Merdeka jika berjawan ditawan, mereka mahu mencetuskan dan membakar semangat untuk menjadikan Mesir sebagai revolusi di Malaysia. Pembangkang membakar semangat peserta dengan ucapan berapi-api bahawa Dataran Merdeka adalah dataran rakyat bukan milik DBKL ataupun kerajaan. DBKL hanya pengurus sahaja, bayangkan jika tiada pihak yang menguruskan dataran ini, apakah secantik seindah dan sebaik ini Dataran Merdeka. Tetapi oleh kerana akal telah mandul, telah fanatik telah menjual jiwa kepada pemimpin pembangkang, apa sahaja ucapan ditelan bulat-bulat. Sebenarnya demonstrasi adalah baik bagi sebuah negara demokrasi. Demonstrasi adalah satu cara untuk rakyat meluahkan perasaan dan ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara. Ia juga saluran terakhir jika pelbagai usaha sebelum ini gagal. Tetapi hendaklah dibuat secara aman, janganlah merusuh dan membuat kerosakan pada nyawa dan harta benda awam. Adakah dengan merusuh dinamakan akhlak Islam. Apakah ada tokoh-tokoh pembangkang telah menasihati perusuh supaya bertaubat dan menyerah diri kepada pihak polis. Ulama yang ikhlas ialah yang mendidik masyarakat kearah kebaikan. Membantu mereka membuang sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam dada bukan terus membakar semangat amarah mereka ini. Ajarlah mereka dengan akhlak Islam kerana itu adalah cerminan wajah batin. Alangkah baiknya jika kita berserban, berkopiah, berjubah, bertudung labuh dan berpurdah menunjukkan akhlak Islam ketika berdemonstrasi. Maka indahnya dilihat oleh orang bukan Islam, tetapi jika kita menunjukkan amarah yang melampau, maka itulah wajah kita yang sebenar disebalik pakaian zahir yang kita pakai. Maka saya menyeru para ulamak yang khalis, yang mempunyai sifat rahim supaya membantu memperbetulkan masyarakat. Janganlah takut untuk mengatakan sesuatu yang baik walaupun bercanggah dengan tokoh pembangkang yang berpengaruh walaupun bergelar tok guru.

Sunday, March 4, 2012

CADANG MANSUH CAJ 1% PINJAMAN PTPTN, HADIAH BUAT RAKYAT

CADANG MANSUH CAJ 1% PINJAMAN PTPTN, HADIAH BUAT RAKYAT

Lembaran tahun 2012 dibuka dengan pelbagai insentif kerajaan kepada rakyat dan yang paling popular buat masa sekarang ialah skim bantuan rakyat BR1M. Paling terbaru ialah pengumuman YAB Perdana Menteri diskaun 50% tol Lebuhraya Cheras - Kajang. Ini boleh diibaratkan hadiah buat rakyat terutama bagi pengguna lebuhraya berkenaan. Tetapi apa yang lebih besar dan sentiasa menjadi isu ialah caj 1% terhadap peminjam PTPTN. Umum mengetahui bahawa caj 1% ialah caj pengurusan oleh pihak pemberi pinjaman (KWSP) terhadap kerajaan. Untuk rekod, kerajaan telah mengurangkan caj ini daripada 4% kepada 1%. Tetapi amat wajar jika kerajaan terutama YAB Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan terus caj 1% kepada kesemua peminjam PTPTN sebagai hadiah buat rakyat. Manakala bagi peminjam PTPTN yang telah mendapat pekerjaan, tunaikan kewajipan dengan membayar balik pinjaman. Saya percaya tindakan pemansuhan caj 1% amat realistik dan boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan, tanpa menunggu selepas PRU-13, supaya rakyat bertambah yakin kerajaan boleh melaksanakan sesuatu janji tanpa mereka-reka pelbagai manifesto pilihanraya. Jika pengumuman ini dibuat sebelum pru-13, sokongan kepada kerajaan makin bertambah dan kuat terutama daripada golongan muda atau lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana majoriti mereka ini meminjam dengan PTPTN. Biarlah kerajaan dituduh memancing undi asalkan peminjam mendapat manfaat atas keprihatinan kerajaan. Disini, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak PTPTN agar diberi sedikit "diskaun" kepada pelajar di peringkat ijazah pertama yang mendapat kepujian kelas kedua (atas) iaitu CGPA 3.0 ke atas dalam pembayaran balik pinjaman mereka. Diskauan ini diberikan berdasarkan dua syarat:
1. Diskaun diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada pihak PTPTN.
2. Diskauan diluluskan bagi peminjam yang telah mula membuat pembayaran balik peminjam mereka. Bagi peminjam tegar dan degil yang tidak membayar balik pinjaman mereka walaupun telah mendapat pekerjaan tetap, sewajarnya tiada diskaun diberikan kepada mereka.
Saya percaya nilai berapa peratus diskaun tidak penting, apa yang lebih penting ialah keprihatinan dan kemampuan kerajaan dalam melaksanakannya. Kita mahu rakyat juga realistik dalam hal ini. Jika cadangan diskauan ini dilaksanakan ia akan memberi motivasi secara tidak langsung kepada pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka. Cadangan diskauan di peringkat ijazah pertama dipilih kerana akan membolehkan secara tidak langsung pelajar lepasan diploma berminat untuk menyambung pelajaran mereka dan mendapat keputusan yang cemerlang. Jadi apa yang lebih penting sekarang dan dalam jangkamasa terdekat, kerajaan bersedia untuk mengumumkan pemansuhan caj 1% ini. Bayangkan jika pelajar meminjam pinjaman PTPTN di peringkat diploma dan ijazah, pelajar ini terpaksa membayar dua kali caj 1% ketika membayar balik pinjaman mereka nanti. Sudah pasti pengumuman pemansuhan caj 1% ini akan disambut dengan kegembiraan oleh peminjam dan sewajarnya peminjam berterima kasih kepada kerajaan dengan membayar balik pinjaman mereka.

ALNORULHADI BIN AB HAMID
Kota Bharu

Thursday, April 21, 2011

HARGAI SOKONGAN PENGUNDI BUMIPUTERA

Keputusan pilihanraya DUN Sarawak jelas menunjukkan berlaku suatu trend yang kontra antara pengundi kaum bumiputera dan kaum Cina. Majoriti kaum bumiputera di Sarawak telah memilih parti BN manakala kaum Cina memihak kepada parti pembangkang terutama DAP. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi, sewajarnya semua pihak menerima dan menghormati segala pilihan yang telah dibuat oleh rakyat. Apa yang penting wakil rakyat yang telah menang 'wajib' bekerja secara ikhlas dalam membangunkan dan memperjuangkan nasib rakyat di kawasan masing-masing. Sebenarnya tidak mustahil pola penolakan kaum Cina terhadap BN akan berjangkit di Semenanjung pada PRU ke-13 nanti. Inilah yang hangat diperkatakan oleh penganalisis politik tempatan. Inilah juga faktor yang boleh menggusarkan pucuk pimpinan BN samada untuk mempercepatkan atau melambatkan PRU dengan mengambil kira faktor berkenaan. Kita tinggalkan isu berkenaan seketika. Ramai di antara kita lupa tentang bagaimana rakyat di kawasan luar bandar, pedalaman dan majoriti kaum Melayu dan bumiputera telah memberi sokongan kepada BN daripada dulu hingga sekarang. Pernah tak pimpinan BN atau wakil rakyat yang menang mempunyai niat atau kesungguhan menghargai sokongan tersebut dengan memaju dan membangunkan kawasan tersebut. Sedia maklum bahawa kebanyakan kawasan tersebut jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan kawasan bandar yang majoritinya penduduk Cina yang telah memihak kepada parti pembangkang. Adakah BN lebih berminat untuk terus dan terus memujuk kaum Cina supaya kembali kepada BN. Adakah pelbagai pembangunan atau projek, bantuan dan sumbangan akan terus di beri kepada penduduk kawasan yang telah memihak kepada parti pembangkang. Alhasilnya kawasan yang dimenangi oleh pembangkan lebih terkehadapan dan maju, manakala kawasan pedalaman yang telah memilih BN zaman berzaman terus ketinggalan dari segi arus pemodenan dan kemajuan. Janganlah rakyat di kampung hanya di jadikan sebagai batu loncatan untuk pemimpin BN naik dalam kepimpinan sehingga ada yang berjawatan menteri atau timbalan menteri dan hanya menjenguk rakyat ketika perlu sahaja. Hargailah sokongan mereka, bukalah mata dan fahamilah hasrat mereka. Sebenarnya apabila kita lihat contoh di Sarawak, kebanyakan kawasan di luar bandar dan pedalaman memilih BN kerana rakyat di kawasan tersebut telah menyerahkan nasib mereka kepada BN untuk membantu mereka. Bantulah meraka dan usahlah ada niat sedikitpun untuk mengula-gulakan rakyat dengan menganggap mereka ini kurang cerdik dalam politik. Tidak mustahil wakil rakyat yang gagal menjalankan tugas dengan baiik akan ditendang oleh rakyat pada pilihanraya akan datang. Daripada trend keputusan pilihanraya DUN Sarawak, saya berpendapat BN tidak perlu lagi terikat dengan kuota bagi sesebuah kawasan dalam PRU ke-13 nanti. Letakkan sahaja calon daripada parti yang boleh memenangi kawasan tersebut. Apa gunanya mengikut kuota tetapi calon parti tertentu tewas. Contohnya di kawasan yang sebelum ini di peruntukkan kepada MCA ataupun parti gerakan, jika penduduk bumiputera melebihi 60% boleh dipertimbangkan calon kepada UMNO. Adakah ganjil jika UMNO berentap dengan DAP. Saya percaya tidak kira apa kaum sekalipun, mereka akan menyokong calon yang jujur, amanah, cekap dalam bekerja sebagai wakil rakyat. Semua rakyat dibantu tanpa mengambil kira kaum mana. Adakah kaum Cina akan menolak calon yang mempunyai ciri-ciri sedemikian walaupun dia bukan berbangsa Cina. Mengenai peluang BN untuk merampas Pulau Pinang daripada tangan DAP, ada yang berpendapat sukar bagi BN. Ada kewajarannya juga jika dilihat trend keputusan pilihanraya DUN Sarawak. Sebab itu BN perlu berani khususnya UMNO untuk menyuarakan atau mencuba strategi yang baru. Adakah BN masih terikat dengan perjanjian jika BN menang, Ketua Menteri disandang oleh parti gerakan. Adakah salah mengishtiharkan jika BN menang, jawatan Ketua Menteri dipilih berdasarkan parti yang majoriti. Mungkin pengishtiharan ini boleh menghakis lagi sokongan kaum cina kepada BN, tetapi pada hari ini sememangnya sokongan kaum Cina kepada BN telah terhakis.


ALNORULHADI BIN AB HAMID
Kota Bharu